BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 

SOP Musnah Bom Dikaji Susulan Anggota Tertimbus Tanah

28/08/2024 01:54 PM

JOHOR BAHRU, 28 Ogos (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua anggota Unit Pemusnah Bom cedera parah dipercayai tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di Taman Sri Lambak, Kluang semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata siasatan yang dijalankan itu termasuk untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kelonggaran dari sudut prosedur operasi standard (SOP).

"Polis dalam proses mengkaji dan siasat punca sebenar kejadian terbabit, namun masih terlalu awal untuk diberi ulasan.

"Beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan termasuk sekiranya ada kelonggaran dari sudut SOP dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian seumpama itu kali pertama berlaku, sekali gus menjelaskan bom jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang seharusnya dimusnahkan semalam, sedang dalam proses untuk dilupuskan.

Menurut Kumar, kedua-dua anggota itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang telah dipindahkan ke wad biasa.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh hari ini dilaporkan berkata kejadian itu menyebabkan Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri manakala Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang paha dan tulang rusuk sebelah kiri.

Bahrin berkata berkata kejadian pada 2.20 petang itu berlaku ketika kedua-dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkenaan dalam penugasan memusnahkan bom lama jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang dijumpai orang awam di lokasi kejadian.

Namun, ketika kerja-kerja memusnahkan bom dijalankan, berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tertimbus dan cedera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan