BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 

DBKL, IWK Periksa Paip Kumbahan Di Lokasi Tanah Mendap - Datuk Bandar

28/08/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK) telah diminta untuk memeriksa paip kumbahan di lokasi insiden tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis di Jalan Masjid India di sini hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata sebagai langkah keselamatan, kawasan kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi tadi itu telah ditutup menggunakan tali keselamatan dan penghadang air. 

"Kami akan terus bekerjasama erat dengan IWK serta agensi lain bagi memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur ialah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan kejadian tanah mendap itu dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku awal pagi selepas hujan lebat dan ribut pada malam tadi. 

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini. 

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan