BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 

Mahkamah Dengar Rayuan Najib Batal Injunksi Mareva Kes Saman 1MDB Pada 15 Okt

28/08/2024 02:11 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menetapkan 15 Okt untuk mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan injunksi Mareva yang menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah US$681 juta.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited, mengesahkan tarikh berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Pada Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikat itu memfailkan saman terhadap Najib dan beberapa individu lain termasuk Terrence Geh Choh Heng (bekas pengarah kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB), Vincent Beng (bekas ketua pegawai kewangan) dan Radhi Mohamad (bekas ketua pegawai operasi).

Pada 8 Feb 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi Mareva terhadap Najib.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan injunksi itu susulan perbicaraan antara pihak. Najib merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Injunksi yang diperoleh syarikat itu bertujuan membekukan aset Najib sebelum selesai saman sivil.

Injunksi itu juga mengehadkan Najib untuk mengeluarkan tidak lebih daripada RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup dan guaman.

Sekiranya beliau memerlukan lebih daripada itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam yang mewakili 1MDB dan anak syarikatnya.

Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

Najib, 71, yang kini sedang menjalani hukuman penjara, gagal dalam permohonannya untuk menghadiri perbicaraan rayuan itu setelah ditolak Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonannya untuk kebenaran merayu pada 29 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan