BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 

Penipuan Pelaburan Kripto Sasar Warga Jepun Tumpas, 21 Individu Ditahan

28/08/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pusat panggilan penipuan pelaburan mata wang kripto yang dipercayai menyasarkan warga Jepun menerusi serbuan berasingan di dua premis kediaman mewah di ibu negara.

Hasil serbuan pada 19 Ogos lepas, 21 individu berusia lingkungan 22 hingga 37 tahun ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, 16 lelaki dan seorang wanita warga China; seorang wanita Laos serta masing-masing seorang lelaki Hong Kong dan Myanmar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua suspek warga asing dipercayai berperanan sebagai pekerja khidmat pelanggan di pusat panggilan itu, manakala suspek warga tempatan menjadi penjaga pusat berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, pusat panggilan ini baru memulakan operasi sebulan dan sindiket menggunakan banglo mewah yang mempunyai dua lapisan pagar tinggi dan terletak jauh dari jalan utama sebagai pusat operasi bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa. 

“Mereka yang ditahan berperanan mencari mangsa melalui media sosial seperti Tinder dan mangsa yang terpedaya akan diajak melabur melalui aplikasi Bitbank dan CoinCheck,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Menurut Ramli, siasatan mendapati ahli sindiket masuk ke Malaysia menerusi Pas Lawatan Sosial dan kesemua mereka menerima gaji dalam bentuk komisen iaitu 20 peratus daripada wang yang berjaya ditipu.

Beliau berkata pihaknya turut merampas antaranya 17 set komputer, 55 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah router. 

“Individu warga tempatan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 25 Ogos lepas setelah tempoh reman ke atasnya tamat. Manakala 20 individu yang lain menjalani tahanan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menegaskan apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan dan orang ramai dinasihat melakukan pelaburan menerusi skim yang diiktiraf badan-badan penguatkuasa pelaburan di negara ini seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan