Bekas Peguam Dipenjara Dua Tahun, Denda RM15,000 Pecah Amanah Wang Milik Pelanggan

28/08/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM24,600 milik pelanggannya dari 2010 hingga 2011.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Jasmira Wan Ibrahim, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini," kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Wan Jasmira yang ketika itu seorang peguam di sebuah syarikat guaman didakwa melakukan pecah amanah wang milik lima individu di sebuah unit pejabat di Off Jalan Gombak, Setapak antara 7 Julai 2010 hingga 26 Ogos 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun hingga maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman manakala tertuduh diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada Oktober 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan