Waspada Penipuan ‘deepfake’ Tiru Suara Kenalan, Lebih 400 Kes Kini Disiasat - Polis

28/08/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Polis sedang menyiasat 454 kes penipuan dipercayai menggunakan teknik palsu asli atau 'deepfake' antara lain melibatkan penyamaran suara melibatkan kerugian RM2.72 juta sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penipuan itu menggunakan taktik penghantaran mesej WhatsApp dengan menyamar sebagai kenalan mangsa dan mendakwa sedang ditimpa masalah dan ingin meminjam wang.

"Mangsa akan diminta untuk membuat pindahan wang ke akaun tertentu yang merupakan akaun keldai," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kes yang diterima melibatkan seorang ejen pelancongan di Kuala Terengganu yang ditipu selepas dihubungi nombor tidak dikenali menggunakan suara mirip kenalannya pada 23 Ogos lepas.

Ramli berkata mangsa percaya panggilan itu dibuat kenalannnya kemudian memberikan pinjaman wang berjumlah RM49,800 yang dipindahkan ke akaun diberikan individu terbabit.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan teknologi ‘deepfake’ digunakan dalam kes itu bagi meniru suara kenalan mangsa.

Dalam kes berasingan, polis menumpaskan sindiket pembuatan wang palsu selepas menahan tiga lelaki warga Cameroon berusia lingkungan 36 hingga 49 tahun disyaki dalang utama sindiket itu menerusi dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada 15 Ogos lepas.

Ramli berkata polis turut merampas 4,770 keping wang kertas RM100, 152 keping wang kertas US$100 dan sembilan bungkusan blok not RM100, kesemuanya dipercayai palsu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memulakan kegiatan penghasilan wang palsu sejak Julai lepas untuk dijual.

Menurut Ramli, siasatan mendapati seorang daripada suspek masuk ke Malaysia pada 28 Julai lepas menggunakan pas pelawat namun dua lagi tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan