Tiga Termasuk Dua Beradik Didakwa Bunuh Pekerja Cuci Kereta

28/08/2024 04:18 PM

SUNGAI PETANI, 28 Ogos (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong dekat sini, pertengahan bulan ini.

Mengikut pertuduhan, V. Mathavan, 36, dan adiknya, V. Navin Kumar, 27, serta seorang lagi tertuduh R. Puvaneswaran, 31, bersama dua individu yang masih bebas, didakwa membunuh S. Naarenthiran, 28.

Perbuatan itu dilakukan di lorong belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong Jaya, Bedong dekat sini antara 2.15 pagi hingga 2.30 pagi pada 15 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia Inspektor Nurain Safinah Minhat.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu dengan cara menggunakan parang.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Kesemua mereka didakwa bersama dua lagi individu yang masih bebas telah menyebabkan kecederaan terhadap J. Dinesh, 29, di tapak kosong kawasan Kampung Toh Pawang, Bedong dekat sini, lebih kurang 2 pagi pada tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Sekysen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Lishantini manakala peguam P. Vaasudevan mewakili kesemua tertuduh bagi kedua-dua kes.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen, selain urusan pemindahan kes bunuh ke Mahkamah Tinggi. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan