Bunuh Along: Hukuman Bekas Penjual Burger Diganti Penjara 30 Tahun

28/08/2024 07:57 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas penjual burger terlepas tali gantung apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 30 tahun kerana membunuh pemberi pinjaman wang tidak berlesen susulan pertikaian mengenai hutang.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut memerintahkan Kamaruddin Abd Rahim, 48, dikenakan 12 sebatan dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 11 Sept 2017.

Ahmad Zaidi, ketika menyampaikan keputusan mahkamah, berkata hujah pembelaan berhubung tindakan Pesuruhjaya Kehakiman yang mencadangkan agar empat saksi dipanggil semula pada hari beliau sepatutnya memberi keputusan di akhir kes pendakwaan adalah tanpa merit.

Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman itu, yang mengambil alih kes tersebut daripada hakim lain, telah bertindak secara adil kerana menerima hujah pembelaan agar tidak memanggil semula saksi terbabit.

Ahmad Zaidi berkata pendakwaan telah membuktikan niat Kamaruddin untuk mencederakan mangsa yang membawa kepada kematiannya berdasarkan kecederaan parah yang dialami di bahagian kepala.

Beliau juga berkata Kamaruddin gagal membuktikan pembelaan terhadap provokasi yang serius dan mengejut.

Bagaimanapun, beliau membenarkan rayuan Kamaruddin untuk menggantikan hukuman mati dengan penjara.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Terdahulu peguam Gurbachan Singh, yang dibantu oleh Aashwini Rajan, berkata Kamaruddin tidak mendapat perbicaraan adil kerana Pesuruhjaya Kehakiman telah bertindak sebagai pendakwa raya kedua dan berusaha melakukan 'baik pulih kecemasan' selepas kedua-dua pihak selesai berhujah di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman sepatutnya meminta pendakwaan memanggil semula saksi terbabit sejurus selepas mengambil alih kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz pula berhujah tindakan perayu menggunakan sebatang kayu untuk memukul kepala mangsa menunjukkan niatnya untuk membunuh.

Pada 30 Dis 2022, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Kamaruddin selepas mensabitkannya dengan kesalahan membunuh Ng Yeong Chian, 29, di kaki lima bersebelahan sebuah gerai di Teluk Batik, Lumut, Perak pada 10.40 pagi 11 Sept 2017.

Pembelaan Kamaruddin menyatakan bahawa dia telah meminjam RM1,000 daripada Ng dan RM40 perlu dibayar setiap hari dalam tempoh 35 hari sebagai faedah serta jumlah prinsipal.

Tertuduh berkata dia gagal membuat pembayaran kerana telah menutup gerainya selama tiga hari untuk menziarahi saudara yang sakit di Melaka.

Kamaruddin berkata pada hari kejadian, Ng yang datang untuk mengutip hutang di gerainya telah melontarkan kata-kata kesat.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan