Tanah Jerlus: Tiada Keperluan Isytihar Kawasan Masjid India Sebagai Zon Tidak Selamat, Bencana

29/08/2024 01:38 PM

KOTA BHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Tiada keperluan untuk mengisytiharkan kawasan Masjid India yang terlibat dengan tanah jerlus sebagai zon tidak selamat dan bencana, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, polis perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setakat ini, tiada keperluan untuk mengazetkan kawasan Masjid India sebagai zon tidak selamat kerana apa yang terjadi di kawasan itu (Masjid India) tidak dikategori sebagai bencana.

“Walaupun bukan bencana tetapi tindakan polis, jabatan bomba, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh seolah-olah seperti bencana kerana adanya pusat kawalan operasi,” katanya dalam sidang media pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini operasi mengesan seorang wanita warga India yang masih hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur.

“Saya telah dua kali melawat kawasan Masjid India dan mendapati kerja-kerja pencarian mangsa wanita warga India yang masih hilang diteruskan dan kita akan mencari sehingga dijumpai.

“Selain itu, arahan yang telah diberikan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Rusdi Mohd Isa) dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi (ACP Sulizme Affendy Sulaiman) untuk menutup semua semua 'chamber' dan pembentung,” katanya.

Razarudin berkata laluan berkenaan ditutup di sepanjang Jalan Masjid India menuju ke Jalan Raja Laut untuk operasi pencarian mangsa.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak mengarahkan mana-mana kedai di lokasi kejadian berhampiran ditutup.

“Saya tidak mahu mengulas panjang perkara ini kerana polis bukan daripada bahagian teknikal tetapi polis melibatkan keselamatan,” katanya.

Insiden tanah jerlus itu telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan