Guna Aplikasi Penjejak Pantau Pergerakan Ahli Keluarga - KPN

29/08/2024 04:22 PM

KOTA BHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan agar orang ramai menggunakan aplikasi penjejak dalam telefon bimbit masing-masing untuk memantau pergerakan ahli keluarga dan kanak-kanak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin berkata masyarakat juga dinasihatkan agar mengambil peduli pergerakan ahli keluarga dan anak serta mengetahui lokasi mereka, sekali gus dapat mengelakkan berlaku peningkatan kes orang hilang.

“Orang ramai boleh menggunakan aplikasi atau sistem penjejak yang sedia ada dalam telefon pintar untuk mengesan keberadaan ahli keluarga masing-masing.

“Saya sendiri sebagai IGP (Ketua Polis Negara) pun menggunakan sistem penjejak dalam telefon pintar untuk menjejak keberadaan anak dan isteri saya jika berlaku apa-apa kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Razarudin berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta membuat laporan polis segera tanpa menunggu tempoh 24 jam.

“Tidak perlu tunggu 24 jam untuk buat laporan polis, malah saya telah mengarahkan kepada semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di seluruh negara untuk membantu siasatan kes melibatkan orang hilang ini.

“Polis akan membantu sesiapa sahaja yang hilang termasuklah yang sesat di gunung dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata lazimnya, kes orang hilang terjadi disebabkan faktor keluarga bermasalah dan percintaan serta kebanyakan kes bukan disebabkan penculikan, tetapi melarikan diri yang akhirnya kembali ke pangkuan keluarga.

“Oleh yang demikian, tiada keperluan untuk mewujudkan pasukan petugas untuk kes-kes orang hilang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang kerap memaparkan kes kehilangan ahli keluarga dan anak yang menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan