BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 

Kes Bunuh Hanis Amanda: Mahkamah Persekutuan Kembalikan Hukuman Mati Bekas Anggota Polis

29/08/2024 05:31 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan telah mengembalikan hukuman mati seorang bekas koperal polis kerana membunuh anak tiri perempuannya yang berusia dua tahun, Hanis Amanda Mohd Zafil, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim yang bersidang pada Selasa lepas terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan telah meminda pertuduhan terhadap Muhammad Khairuanuar Baharuddin daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Muhammad Khairuanuar atas pertuduhan membunuh dan hukuman mati terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim yang mewakili pendakwaan dan peguam Fahri Azzat yang mewakili Muhammad Khairuanuar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada Selasa, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pendakwaan dan rayuan balas Muhammad Khairuanuar yang memohon agar dia dibebaskan.

Iznina Hanim berkata Harmindar berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.

Beliau berkata panel itu turut menolak rayuan balas Muhammad Khairuanuar.

Sementara itu, Fahri memaklumkan Bernama bahawa jika keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, Muhammad Khairuanuar akan dibebaskan daripada penjara pada 9 Sept ini, mengambil kira pengurangan satu pertiga hukuman.

Muhammad Khairuanuar, 42, yang didakwa membunuh Hanis Amanda di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 7 pagi dan 7.30 malam 6 Nov 2015 telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi serta dihukum mati pada Mac 2021. 

Pada 8 Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mensabitkan Muhammad Khairuanuar dengan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. 

Bapa kandung kanak-kanak itu dan ibu tirinya memberi keterangan bahawa mereka menyedari terdapat kesan lebam pada badan mangsa terutama di bahagian rusuk serta peha semasa Hanis Amanda berada dalam jagaan mereka iaitu antara 17 Okt 2015 dan 19 Okt 2015.

Bapa Hanis Amanda juga berkata mangsa mengadu sakit dan memberitahu 'Papa Bi' yang menyebabkan lebam itu.

Beliau berkata 'Papa Bi' yang disebut oleh anaknya itu merujuk kepada Muhammad Khairuanuar.

Ibu bapa kanak-kanak itu bercerai pada 2013 dan ibunya berkahwin dengan Muhammad Khairuanuar manakala bapanya berkahwin dengan wanita lain.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan