Seorang Remaja Lelaki Maut Dalam Kemalangan Babit Enam Kenderaan Di Pontian

29/08/2024 05:41 PM

 PONTIAN, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 1.6 Jalan Sinar Harapan-Belokok, Pekan Nanas di sini, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata Muhammad Nurhakimi Mohd Rashidi, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hijau mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan empat jenis kereta iaitu Toyota Fortuner, Perodua Myvi, Honda Civic dan Perodua Alza serta dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hijau dan kelabu itu, kira-kira pukul 8 pagi. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Muhammad Nurhakimi yang dari arah Jalan Belokok menghala ke Pekan Nanas telah memperlahankan motosikalnya kerana terdapat sebuah kereta (nombor pendaftaran tidak dikenal pasti) telah membelok ke simpang sebelah kanan jalan.

“Manakala, penunggang motosikal Y15ZR Kelabu yang berada di belakangnya pula gagal mengawal kenderaan lalu melanggar motosikal milik Muhammad Nurhakimi menyebabkan mangsa terbabas dan masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohammad Shofee berkata kejadian itu menyebabkan kereta Toyota Fortuner dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal Muhammad Nurhakimi dan menyebabkan dia tercampak dan terkena kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Jalan Belokok. 

“Akibat daripada pelanggaran itu juga, kereta Toyota Fortuner telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan kereta Perodua Alza yang datanf dari arah Jalan Belokok. 

“Seterusnya kereta Honda Civic yang datang dari arah sama dengan kereta Perodua Alza itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta Perodua Alza,” katanya.

Beliau berkata mayat Muhammad Nurhakimi telah dirujuk ke unit forensik Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat. 

Muhammad Shofee berkata seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan kaki, manakala kesemua pemandu terlibat tidak mengalami kecederaan serius. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan ini, mohon tampil di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian atau hubungi Inspektor Aiman Faiz Jusoh di talian 011-26561677 bagi membantu siasatan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan