Saksi Tidak Serah Telefon Bimbit Rakam Panggilan Video Ebit Lew Kepada Polis

29/08/2024 10:03 PM

TENOM, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau tidak menyerahkan sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam panggilan video dengan Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, kepada polis.

Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes berhubung gangguan seksual pendakwah tersebut, berkata telefon berkenaan adalah untuk kegunaan di rumah bersama suaminya dan beliau tidak ingat nombornya kerana sudah tidak aktif.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Ram Singh di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, saksi berkata beliau menerima panggilan video daripada Lew pada petang 10 Julai 2021 melalui telefon bimbit lain miliknya sebelum bertindak merakam panggilan itu menggunakan telefon rumah.

Wanita itu berkata panggilan video tersebut adalah yang pertama dirakamnya dan ia dilakukan tanpa pengetahuan tertuduh sebelum beliau bertindak menyekat nombor telefon Lew pada 11 Julai 2021.

Beliau berkata telefon yang digunakan untuk panggilan video itu telah diserah kepada polis pada 7 Ogos 2021.

Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan