Tanah Jerlus: SAR Secara Penyelaman Terlalu Berisiko - Bomba

30/08/2024 02:23 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merumuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata perkara itu dirumuskan selepas selaman oleh dua penyelam skuba 4 pagi tadi tidak berhasil setelah hampir setengah jam. 

Beliau berkata antara faktor risiko yang dikenal pasti ialah aliran air bawah tanah yang deras; ruang yang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah serta backlog yang keras di kawasan carian.

"Selepas kita berbincang, secara taktikalnya dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang yang masuk dalam (pagi) tadi, saya dapat putuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

"Kita buat beberapa percubaan dari 5 petang semalam sehingga 1 pagi tadi, beberapa kali kita turun dan kita pecahkan (backlog) tetapi didapati memang mustahil, sangat sukar untuk kita pecahkan lemak tepu itu seperti bongkah simen, kita tembak pun tak pergi, kaedah tarik guna tali sehingga lapan orang pun tidak bergerak," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.

Menurut Nor Hisham, kaedah penyelaman oleh seorang anggota bomba dan seorang lagi pekerja kumbahan yang biasa dengan reka bentuk saluran itu, dibuat selepas paras air berjaya diturunkan dengan kaedah pengepaman.

"Jadi kita masuk kira-kira 20 minit, 18 meter ke dalam dan kita dapati apabila sampai situ, tiada ruang untuk orang nak masuk, jadi tak boleh nak pergi, ruang itu sangat sempit, penyelam pun terpaksa meniarap untuk masuk. 

"Dalam masa sama, berlaku peningkatan air jadi kita telah bersetuju untuk keluarkan pasukan skuba kerana terlampau berisiko tinggi. Itu yang kita buat semalam," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pihak JBPM juga ada menghantar dua unit kamera dalam air di kawasan SAR dan setakat ini antara imej yang dirakam kamera itu termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.

"Walaupun kita dapat imej-imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan bahawa itu milik kepada sesiapa sebab dalam itu memang macam-macam, tapi ada imej kain yang dua-dua kamera itu rakam.  

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan