Kastam Perlis Tahan Wanita Warga Thailand, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM490,000

30/08/2024 03:18 PM

KANGAR, 30 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menahan seorang wanita warga Thailand dan merampas dadah jenis heroin seberat 5.252 kilogram (kg) bernilai RM492,375 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Rabu lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata wanita berusia 30 tahun itu ditahan di bilik mesin pengimbas bagasi Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) kompleks itu pada 6.40 petang apabila sebuah bagasi yang dibawanya didapati mengandungi barang larangan disyaki dadah.

"Pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut telah menemukan dua beg tangan dan dua beg galas masing-masing mengandungi peket berwarna coklat yang disembunyikan dalam ruangan khas beg tersebut. 

"Pemeriksaan rapi ke atas peket tersebut mendapati kesemuanya mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis heroin," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini.

Ismail berkata wanita itu memberikan alasan mahu pergi ke Kuala Lumpur untuk sambutan hari lahir kawannya di sana dengan merancang menaiki teksi dari Padang Besar ke Stesen Bas di Kangar.

Beliau berkata bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari Bangkok, Thailand itu dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat rangkaian dadah berkenaan di ibu negara.

"Perintah reman tujuh hari dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar pada 29 Ogos (semalam) ke atas wanita itu untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata Kastam Perlis menyita sebuah kereta mewah jenis Porsche 911 GT3 bernombor pendaftaran pulau bebas cukai, Langkawi kerana disyaki berada melebihi tempoh 90 hari di Tanah Semenanjung iaitu selama 91 hari.

"Pada 12 Ogos lepas, lebih kurang 1 tengah hari sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Butiran 14, Bahagian I, Jadual, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017," katanya.

Beliau berkata kereta yang disita itu dianggarkan bernilai RM1,200,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM2,118,000.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya merampas 69 karton atau 12,120 batang rokok pelbagai jenis yang disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM3,736 dan cukai RM8,372.88 selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kereta Perodua Kancil yang parkir dan ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Santan di sini, Rabu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan