KPDN Pahang Lupus Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM800,000

30/08/2024 03:45 PM

KUANTAN, 30 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melupuskan pelbagai barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM809,205.71 bagi tahun 2023 sehingga Ogos ini, semalam. 

Pengarah berkenaan Jezlily Jamaluddin berkata pelupusan barang itu melibatkan sembilan kes di bawah pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagang 2019, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang telah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran dilupuskan.

Beliau berkata antara barang rampasan dilupuskan ialah alat ganti kenderaan, tangki tambahan kenderaan diubah suai serta peralatan dan dokumen yang terlibat semasa aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Bermula Jan hingga Ogos 2024, KPDN Pahang telah memeriksa 49,186 premis dan 489 kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan bernilai RM1,889,770.61.

“Kompaun bernilai RM355,650 telah dikeluarkan melibatkan 428 kes manakala sembilan kes lagi membabitkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda dikenakan sebanyak RM311,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jezlily berkata KPDN memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan telah ditetapkan supaya tidak dikenakan tindakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan