Juruterbang JBPM Wajib Penuhi 12 Jam Penerbangan Sebulan

30/08/2024 04:00 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Semua juruterbang Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) diwajibkan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 12 jam penerbangan sebulan berbanding lima jam sebelum ini berkuat kuasa Jun lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata Arahan Pematuhan Jam Penerbangan Bulanan bagi Juruterbang itu adalah wajar bagi memastikan aspek upaya dan siaga setiap juruterbang sentiasa di tahap yang tinggi sekali gus mencapai objektif peningkatan nilai dari sudut kecekapan dan keselamatan dalam penerbangan. 

Beliau berkata arahan itu juga selaras dengan ketetapan jabatan dalam pematuhan petunjuk prestasi utama Bahagian Udara berkaitan kompetensi juruterbang.

"Langkah ini juga mencerminkan usaha bersungguh dan berterusan JBPM dalam memastikan tidak berlaku sebarang insiden sekali gus mengelakkan kemalangan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan pesawat.

"Pihak jabatan telah mengambil langkah penyusunan semula peruntukan kewangan bagi membolehkan jumlah jam penerbangan itu dapat dicapai dalam kalangan juruterbang kita," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.

Berdasarkan kepada pencerapan data dikumpul sejak arahan berkuat kuasa Jun lepas, JBPM mendapati jumlah jam penerbangan yang baharu ditetapkan itu telah dapat dipenuhi oleh juruterbang mereka, kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata kerajaan secara dasarnya telah bersetuju untuk perolehan dua unit pesawat AW139 bagi kegunaan JBPM melalui inisiatif Perolehan Helikopter Untuk Kegunaan Kementerian atau Agensi Kerajaan Secara Penswastaan Melalui Kaedah Pajakan Aset.

Beliau berkata dua pesawat AW139 itu nanti akan dilengkapi dengan peralatan sokongan bagi perkhidmatan kesihatan, mirip ‘hospital terbang’.

"Kalau ikut kepada perancangan awal kita, kedua-dua pesawat ini akan gunakan sebagai Perkhidmatan Ambulans Udara Kecemasan Perubatan (EMARS), jadi apabila berlaku insiden atau panggilan (kecemasan) kita terus hantar apa yang kita kata sebagai hospital terbang.

"Jadi kita harap apabila ada kedua-dua pesawat ini, perkhidmatan kita khususnya dalam memberi bantuan perubatan sama ada kepada pihak Kementerian Kesihatan atau mana-mana insiden kecemasan dapat kita tambah baik dan setaraf dengan amalan diguna pakai oleh negara-negara lain di dunia," katanya dengan menambah pihaknya merancang pengambilan baharu juruterbang untuk pesawat itu.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 25 juruterbang sedang berkhidmat di bawah JBPM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan