Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Ahmad Zahid Didengar Pada 12 Dis

30/08/2024 06:46 PM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah menjadualkan semula pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah kepada 12 Dis kerana beliau akan menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri di luar negara.

Tarikh itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini melalui aplikasi zoom.

Beliau turut menetapkan 28 Nov sebagai pengurusan kes terakhir bagi rayuan itu.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 9 Sept ini untuk mendengar rayuan pendakwaan.

Peguam utama Ahmad Zahid iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Hisyam berkata pembelaan telah memohon penangguhan pendengaran rayuan itu kerana Ahmad Zahid akan menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Global 2024 yang dijadualkan berlangsung di Lianyungang City, China dari 8 hingga 10 Sept 2024.

Turut hadir pada sesi pengurusan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong bagi pihak pendakwaan manakala mewakili Ahmad Zahid ialah peguam Hamidi Mohd Noh dan Aiman Abdul Rahman.

Pada 18 Mac lepas, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan itu namun ia tidak diteruskan kerana peguam Ahmad Zahid memohon penangguhan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara mempertimbang representasi yang dikemukakan oleh beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Sept ini untuk mendengar rayuan itu.

Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara tahun 2014 dan 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, Ahmad Zahid didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan US$15,000 untuk diri sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan