Hari Ke-9: Pasukan SAR Terus Komited Kesan Mangsa Insiden Tanah Jerlus

31/08/2024 10:21 AM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus komited mengesan mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang operasi pencariannya memasuki hari kesembilan sejak kejadian itu berlaku pada 23 Ogos.

Seramai lebih 115 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains.

Tinjauan Bernama di lokasi pada 9.30 pagi ini mendapati pasukan SAR sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar bagi meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan setakat ini.

DBKL dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi SAR pada hari kelapan diteruskan pada sebelah malam.

Difahamkan, pasukan SAR malam tadi yang meneruskan operasi sehingga 4 pagi, menggunakan kamera teleskopik bagi melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan backlog.

Kamera tersebut mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera push rod dan crawler yang digunakan sebelum ini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan usaha pencarian berkenaan memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dijangka membuat sidang media berhubung kejadian terbabit pada 2 petang ini.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan