Remaja Lemas Ketika Mandi Bersama Rakan Di Air Terjun Pecah Batu

31/08/2024 09:30 PM

IPOH, 31 Ogos (Bernama) -- Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di Air Terjun Pecah Batu, di Trong, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Aqif Mikhail Ali Arafat, 15, dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.25 petang dan sampai ke lokasi kejadian lima minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong bersama satu jentera.

"Mangsa telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian dan sejurus tiba, pihak bomba telah melakukan bantuan asas hayat melalui kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tiada tindak balas," katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Sabarodzi berkata mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi ditamatkan pada 6.40 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan