Tanah Jerlus: Rondaan Berkala Akan Dilakukan Di Lokasi - Polis

01/09/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Polis akan terus melaksanakan pemantauan dan rondaan secara berkala di lokasi kejadian insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan dan memasuki fasa ‘search and recovery’, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata ia bagi memastikan keselamatan orang awam di sekitar kawasan berkenaan terjaga.

“Hal baik pulih saya rasa biar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan kenyataan manakala pihak polis pula lebih kepada keselamatan orang ramai dan pemantauan serta rondaan secara berkala,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang mengulas hasil perbincangan diadakan dengan DBKL hari ini turut menasihati orang ramai supaya tidak terlalu menghampiri lokasi kejadian. 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan SAR dihentikan selepas sembilan hari dimulakan, sejak hari pertama seorang wanita warga India G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus itu, 23 Ogos lepas.

Dr Zaliha dilapor berkata operasi itu kini memasuki fasa 'search and recovery’ (mencari dan pemulihan) selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Kabinet. 

Operasi SAR melibatkan lokasi utama sekitar Jalan Masjid India dan loji kumbahan di Pantai Dalam membabitkan 194 individu termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, DBKL, Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan