Pegawai Kadet TLDM Tolak Tiga Kali Untuk Dapatkan Rawatan Walaupun Lemah - Saksi

02/09/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mendiang J. Soosaimanicckam pernah tiga kali menolak untuk mendapatkan rawatan walaupun kelihatan lemah ketika menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut.

Leftenan R. Rashwin, 43, yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Kejuruteraan di Depot Logistik Wilayah 3, Pangkalan TLDM, Langkawi, Kedah berkata sebaik sahaja beliau selesai bertugas pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam berjumpa dengannya meminta masa untuk berehat.

"Saya membenarkan si mati (Soosaimanicckam) duduk di kerusi batu bersebelahan. Semasa si mati berehat, saya mendapati dia senyap dan kelihatan sedikit lemah. Saya bertanya dan mencadangkan kepadanya sama ada dia ingin melapor sakit dan mendapatkan rawatan. Namun, si mati menolak cadangan saya tersebut sebanyak tiga kali," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Idah Ismail.

Saksi defendan keenam itu memberikan keterangan dalam kes saman difailkan bapa Soosaimanicckam, S. Joseph terhadap 11 individu termasuk pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertahanan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-15.

Menjawab soalan Peguam Persekutuan (FC) Abdul Hakim Abdul Karim mengenai keadaan Soosaimanicckam ketika itu, saksi berkata beliau bertanyakan sebanyak tiga kali tetapi pegawai kadet berkenaan menolak dan menyatakan dia 'ok', walaupun beliau melihat pernafasan Soosaimanicckam agak dalam tetapi tenang.

Rashwin yang sebelum ini merupakan Pegawai Dalam Latihan berpangkat Leftenan Muda dari Kursus Aplikasi Pegawai Muda ke-11 berkata, beliau telah mengajak Soosaimanicckam berjalan-jalan menaiki keretanya untuk keluar dari pusat latihan berkenaan.

"Pada ketika itu si mati teruja dan setuju. Saya meminta si mati untuk pergi bersiap dan si mati bangun dan berjalan masuk ke Wisma Kadet jam lebih kurang 11.55 pagi. Niat sebenar saya adalah untuk membawa beliau ke Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT). Saya menunggu di hadapan blok penginapan tersebut untuk membawa si mati ke hospital berkenaan.

"Kira-kira 12.15 tengah hari, saya mendapat makluman daripada rakan kumpulan (batch) si mati bahawa si mati dalam keadaan lemah dan terpaku berdiri di bilik air," katanya.

Berikutan situasi itu, Rashwin berkata beliau mengarahkan rakan-rakan Soosaimanicckam untuk membantu mempersiapkannya untuk dibawa ke HAT bagi mendapatkan rawatan. 

"Saya melihat si mati berjalan secara perlahan dari bilik penginapan ke kereta yang terletak di hadapan foyer blok penginapan. Lebih kurang tiga langkah sebelum sampai ke pintu belakang kereta, Soosaimanicckam rebah dan cecair mula keluar dari mulut si mati.

"Si mati diangkat masuk ke dalam kereta dan saya terus bergegas ke HAT. Sejurus tiba di hospital, si mati terus dimasukkan ke bilik kecemasan oleh doktor yang bertugas ketika itu," katanya.

Menerusi saman difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberikan rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.

Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepadanya.

Soosaimanicckam yang ketika itu berusia 27 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 19 Mei 2018.

TLDM dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Manjung ketika itu, ACP Muhammad Hanif Othman berkata hasil siasatan forensik mendapati mangsa maut akibat paru-paru berair dan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal, serta mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, keluarga mendiang kemudian menuntut TLDM dan polis memberikan penjelasan terperinci berhubung kematian itu, dengan mendakwa timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam, memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair, sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

Mendiang melapor ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris bagi menjalani latihan kursus kelayakan pegawai graduan pada 12 Mei 2018 iaitu seminggu sebelum kematiannya.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan