Bekas Tentera Dapat Kebenaran Merayu Terhadap Penahanan Salah

02/09/2024 07:04 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Seorang bekas tentera mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah pembayaran ganti rugi RM300,000 kepadanya akibat penahanan dalam lokap oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 311 hari, dari Ogos 2014 hingga Julai 2015.

Hal ini selepas panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan Muhammad Maliki Abdul Halim untuk diberikan kebenaran meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Kami berpandangan persoalan undang-undang dikemukakan perayu melepasi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk kebenaran diberikan. Sehubungan itu, permohonan tersebut dibenarkan," kata Abdul Rahman.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Seseorang pemohon perlu mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang yang dibenarkan untuk dihujahkan dalam rayuan substantif itu, ialah sama ada seseorang tertuduh yang disiasat di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan tidak dibicarakan terus terhadap pertuduhan itu, boleh direman secara automatik di bawah Seksyen 96 (3) akta itu tanpa perlu mempertimbangkan prosedur reman di bawah Seksyen 94 dan Kaedah-Kaedah Acara Angkatan Tentera (Mahkamah Tentera) 1976 berhubung tahanan reman, sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Tentera.

Muhammad Maliki diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Shaharuddin Mohamed, Low Wei Loke dan Siti Summaiyah Ahmad Jaafar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim dan Nur Ezdiani Roleb mewakili Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera dan kerajaan. 

Pada 14 Sept 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 12 Sept 2022 yang memerintahkan Muhammad Maliki diberikan ganti rugi RM300,000 selepas mendapati penahanan dibuat ke atas lelaki itu tidak mengikut undang-undang dan berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib yang dibuat secara melulu.

Pada Mei 2018, Mohamad Maliki memfailkan saman mendakwa dia ditangkap secara salah selepas didapati positif dadah dalam operasi pencegahan di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, yang secara teruk menjejaskan kehidupannya dan keluarganya.

Ketika ditahan, Mohamad Maliki sedang berkhidmat di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja di Kem Desa Pahlawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan