Shahrol Azral Pindahkan Wang 1MDB Ke Syarikat Jho Low Dua Kali - Peguam Najib   

02/09/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah memindahkan dana syarikat itu ke Good Star Ltd, syarikat dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, sebanyak dua kali.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selepas transaksi pertama sebanyak US$700 juta pada 2009, transaksi kedua melibatkan US$330 juta pada 2011.

"Ini merupakan kali kedua Shahrol Azral memindahkan lagi US$330 juta dana 1MDB ke Good Star.

"Jika pihak pendakwaan mencari bukti tentang sistem di 1MDB, mereka perlu melihat kepada saksi utama mereka sendiri, Shahrol Azral," katanya dalam hujahan pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum ini, dilaporkan sejumlah US$700 juta wang 1MDB dipindahkan ke Good Star pada 2009 melalui arahan Shahrol Azral dan transaksi kedua sebanyak US$330 juta telah berlaku pada 2011.

Wang US$330 juta itu adalah sebahagian daripada pengeluaran PetroSaudi International Ltd di bawah perjanjian pembiayaan Murabaha (MFA) dengan 1MDB.

MFA dimeterai antara kedua-dua pihak selepas menamatkan usaha sama mereka yang melibatkan 1MDB menyuntik wang tunai US$1 bilion, dengan US$700 juta dipindahkan ke Good Star.

Pada 2019, Shahrol Azral memberi keterangan bahawa beliau hanya mengetahui Good Star dikaitkan dengan Jho Low pada 2015.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Hujahan bersambung 10 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan