Tiga Treler Berisi 58,000 Liter Minyak Sawit Mentah Dirampas

02/09/2024 10:41 PM

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Polis merampas tiga treler yang tidak mempunyai nombor pendaftaran berisi 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dalam Op Taring Palma, di sebuah premis di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata rampasan minyak sawit jenis ‘crude palm oil’ itu dilakukan dalam serbuan melibatkan pegawai dan anggota daripada Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dan pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), antara 12.30 tengah malam hingga 10.18 pagi tadi.

“Selain tiga treler yang dijadikan tempat penyimpanan minyak sawit mentah, masing-masing sebanyak 10,000, 43,000 dan 5,000 liter, turut dirampas satu unit mesin pam jenama Honda GX160 dan satu unit pam jenama Asahi berserta hos.

“Juga dirampas dua menara dandang, satu foklif jenis Toyota 25, satu alat penimbang industri 100 tan dan satu lori jenis Hino 40 tan dan jumlah rampasan ialah RM465,111.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan memandangkan tiada suspek di lokasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana mengalih dan menyimpan minyak sawit tanpa lesen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan