Penolong Pengurus Syarikat Rugi RM30,000 Akibat "Phone Scam"

03/09/2024 05:26 PM

SEREMBAN, 3 Sept (Bernama) -- Seorang penolong pengurus syarikat kerugian RM30,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai polis di Gemencheh, Jempol pada 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita berusia 44 tahun itu dilaporkan menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Norazlan daripada Kementerian Komunikasi di Putrajaya, memaklumkan nombor telefon pengadu disekat kerana terlibat dengan beberapa kes jenayah.

Beliau berkata lelaki tersebut kemudian meminta pengadu menghubungi nombor 999 untuk buat pengesahan berkaitan kes ini. 

"Pada 9.30 pagi, pengadu menghubungi 999 kerana percaya talian itu adalah pihak polis dan dijawab seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ain daripada IPK( Ibu Pejabat Polis Kontijen) Kelantan dan wanita itu memaklumkan telah membuat semakan daripada Bukit Aman berkaitan perkara ini.

"Seterusnya, pengadu menerima panggilan menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan dia terlibat dengan kes jenayah penggubahan wang haram serta dadah bersama seorang lelaki Cina dan turut terlibat penjualan kad ATM CIMB kepada lelaki tersebut berjumlah RM 20,000, selain menerima komisen bulanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata pengadu sekali lagi menerima pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai ASP Datuk Azmi daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPK Kelantan memberitahu kes pengadu dapat diselesaikan. 

"Pengadu seterusnya diminta memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) dan diminta mengisikan maklumat yang diperlukan untuk kes ini disiasat oleh juruaudit daripada BNM. Wanita itu kemudiannya mengisi butiran peribadi serta akaun termasuk nombor pin dalam pautan yang diberi oleh pemanggil tersebut," katanya.

Beliau berkata pengadu kemudiannya berasa curiga lalu membuat semakan ke atas akaun Maybank dan mendapati duit sebanyak RM30,000 telah dipindahkan ke dalam akaun yang tidak dikenali.

Hoo berkata wanita itu berasa ditipu lalu membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan