SPRM Tahan Enam Individu Terlibat Kegiatan Penyeludupan Haiwan Ternakan, Barangan Bersubsidi

03/09/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Enam individu termasuk seorang penolong pengarah agensi penguat kuasa ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan penyeludupan haiwan ternakan dan barangan bersubsidi di Tumpat, Kelantan petang semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an hingga 60-an itu ditahan dalam Op Smug sekitar pukul 2.20 petang hingga 4.40 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan.

Pegawai penguat kuasa itu dipercayai menerima rasuah antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada beberapa suspek terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan itu.

“Berdasarkan risikan SPRM, kesemua suspek termasuk penolong pengarah agensi penguat kuasa berkenaan dipercayai terlibat melindungi kegiatan penyeludupan haiwan hidup selain beberapa barangan bersubsidi seperti minyak dan tepung di Tumpat, Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan