Pasukan CDERT-JPKK Beri Bantuan Awal Di Lokasi Bencana

03/09/2024 10:54 PM

SEREMBAN, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) membabitkan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai persediaan menangani bencana.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata komuniti terlibat akan didedahkan asas kemahiran keselamatan bagi memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi bencana.

"Setakat ini anggota pasukan daripada 51 kampung diberikan latihan asas menyelamat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Melalui pasukan ini, kita berharap bukan saja dapat membantu menyelamatkan mangsa malah harta benda penduduk terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam JPKK Peringkat Negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan (APNS) menerima sambutan baik daripada rakyat.

Beliau berkata antara manfaat diterima ialah caruman bantuan RM100 bagi kelahiran baharu, bantuan perkahwinan pertama belia (RM500) dan sumbangan keceriaan warga emas (RM200).

"Sehingga hujung bulan lepas, penerima sumbangan keceriaan warga emas mencecah seramai 31,673 individu dengan peruntukan RM6.3 juta," katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan