AGC Tolak Representasi Adam Radlan Berhubung Pertuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram 

04/09/2024 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa AGC menolak representasi itu yang diserahkan kepadanya pada 4 Julai lepas.

"Hari ini ditetapkan sebutan untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar pihak pembelaan dan ia telah dikemukakan kepada AGC dan keputusannya adalah ditolak," kata Farah Yasmin.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, berkata mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 13 Nov ini dan pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R. Harshini.

Suzana kemudian mengekalkan tarikh perbicaraan pada 13 Nov.

Pada 9 Julai lepas, Harshini memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes Adam Radlan yang berdepan lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa kerana meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan