Palsukan Tuntutan Perkeso: Tiga Doktor Antara Direman Bantu Siasatan

04/09/2024 11:58 AM

GEORGE TOWN, 4 Sept (Bernama) -- Tiga doktor antara 33 individu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.

Dua pegawai perubatan kanan di hospital kerajaan dan seorang doktor pakar di hospital swasta itu direman dua hari bermula hari ini.

Turut direman antara satu hingga tiga hari ialah 19 pencarum Perkeso, lapan ejen dan tiga ‘runner’ berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua individu berkenaan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai butiran palsu mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 9 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM dan diiringi pegawai suruhanjaya berkenaan.

Difahamkan kesemuanya ditahan dalam operasi semalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang dan keseluruhan tuntutan palsu yang dibuat dalam lingkungan RM2.1 juta.

Menurut sumber, pemalsuan tuntutan berkenaan dilakukan sejak 2017 hingga tahun ini.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso di negeri itu.

Beliau berkata mereka ditahan dalam siri serbuan oleh SPRM selepas pendedahan oleh Ahli Dewan Negara Dr R.A Lingeshwaran Julai lepas yang menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso telah digantung, selepas dikaitkan dengan dakwaan memalsukan permohonan terbabit.

Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap memaklumkan Dewan Negara bahawa mereka digantung selepas Perkeso mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan