Warga Thailand Didakwa Edar Lebih 5 Kg Dadah

04/09/2024 12:46 PM

KANGAR, 4 Sept (Bernama) -- Seorang wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih lima kilogram dadah jenis heroin bulan lepas.

Aunchan Houbjoo, 30, yang berasal dari Bangkok mengangguk faham di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Mengikut pertuduhan, Aunchan didapati mengedar dadah berbahaya iaitu heroin seberat 5.252 kilogram di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, pada 6.40 petang 28 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau dipenjarakan seumur hidup berserta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 Nov depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan