Pendakwaan Tarik Balik Rayuan, Lokman Adam Kekal Bebas Tuduhan Sebar Berita Palsu

04/09/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam kekal lepas dan bebas daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, tiga tahun lepas.

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badiuszaman Ahmad memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid bahawa pihaknya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Lokman Noor daripada pertuduhan itu.

“Pihak kami menerima arahan untuk menarik balik rayuan terhadap responden (Lokman Noor),” kata Badiuszaman pada prosiding sebutan kes itu hari ini.

Peguam Logen Eskander Abdullah mewakili Lokman Noor berkata pihaknya tidak membantah perkara itu.

Hakim Azhar kemudian melapangkan tarikh sebutan kes yang telah dijadualkan sebelum ini pada 15 Okt.

Pada 23 Jun tahun lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Lokman Noor daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada Jun 2023 dan pasukan pembelaan mengemukakan representasi supaya rayuan tersebut ditarik balik.

Pada 1 Okt 2021, Lokman Noor, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.38 malam, 9 April 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 8.55 malam, 11 April 2021. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Nov tahun lepas, Lokman Noor juga dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai virus COVID-19, pada 2021 dan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan