Keputusan Permohonan Dr Mahathir Batal Prosiding RCI Ditetapkan 28 Okt Ini

04/09/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Okt bagi keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengendalian isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam bekas perdana menteri itu Zainur Zakaria yang dibantu Muhammad Rafique Rashid Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lepas, menamakan Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya Tan Sri Zainun Ali masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah anggota RCI iaitu Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah, dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Semasa prosiding hari ini, Shamsul berhujah bahawa perkara itu kini bersifat akademik kerana siasatan telah selesai dan laporan sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos lepas.

"Dapatan siasatan dijangka dibentang dan dibahaskan di Parlimen pada Oktober," kata Shamsul.

Bagaimanapun, Zainur berhujah bahawa perkara itu belum lagi bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) adalah satu keperluan statutori dan ketidakpatuhan boleh menyebabkan prosiding terbatal.

"Anak guam saya ialah subjek dalam siasatan ini, tetapi beliau tidak dibenarkan mempunyai representasi undang-undang dalam RCI tertutup," katanya.

Pada 12 Jun, Dr Mahathir memberi keterangan di hadapan suruhanjaya selepas Hakim Amarjeet menolak permohonan beliau dua kali untuk menangguhkan prosiding RCI.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan