Dua Lelaki Didakwa Tipu Jual Emas Palsu

04/09/2024 04:59 PM

BUTTERWORTH, 4 Sept (Bernama) -- Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang individu berhubung jual beli emas palsu melibatkan kerugian RM32,000.

Teh Yong Yang, 33, dan Ooi Kar Hon, 42, didakwa menipu seorang lelaki berumur 64 tahun dengan memperdaya untuk mempercayai dua ketul Swiss Gold Bar adalah tulen sehingga mangsa menyerahkan wang berkenaan. 

Mereka dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Bagan Ajam di sini pada 12.59 tengah hari 13 Jun lepas dan 11.01 pagi 14 Jun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Teh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdaya seorang wanita berumur 45 tahun dengan penjualan emas palsu menyebabkan mangsa memasukkan wang berjumlah RM34,000 ke dalam akaun bank tertuduh.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah restoran nasi kandar di sini antara 9 pagi hingga 6.34 petang pada 14 Julai lepas. 

Majistret Siti Zulaikha Nordin @Ghani membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM14,000 dengan seorang penjamin dan bagi kes kedua Teh juga dibenarkan diikat jamin RM14,000 dan menetapkan 9 Okt untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan