Mahkamah Rayuan Kekalkan Penjara 10 Tahun, Sebatan Terhadap Bekas Tentera Kerana Rogol

04/09/2024 05:32 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Seorang bekas anggota tentera gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan kerana merogol bekas teman wanitanya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Wong Kian Kheong menolak rayuan lelaki berumur 42 tahun itu pada Isnin lepas.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Che Mohd Ruzima berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi mencapai dapatan sama dan rayuan tidak seharusnya membatalkan dapatan itu kecuali terdapat kesilapan.

Beliau berkata berdasarkan keterangan yang dikemukakan, hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusannya.

Berkenaan hukuman, Hakim Che Mohd Ruzima berkata tiada alasan untuk mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Jun 2022, Mahkamah Sesyen Taiping, Perak mendapati lelaki itu bersalah kerana merogol ibu tunggal berusia 37 tahun yang mempunyai dua anak perempuan, di dalam kereta di sebuah tempat letak kenderaan di Taiping antara 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 1 April 2019.

Mahkamah Tinggi pada 18 Dis 2023, turut menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman serta rayuan balas pihak pendakwaan bagi hukuman itu.

Semasa prosiding pada Isnin, lelaki terbabit diwakili peguam P. Ravee dan Anis Sabrina Mokhtar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan