Waspada Taktik Baharu 'Scammer' Beri Diskaun Bil Elektrik - Polis

04/09/2024 06:16 PM

IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Polis mengesan taktik baharu penipuan melalui telefon dengan menawarkan diskaun pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak wujud sejak Julai lepas sehingga menyebabkan seorang akauntan kerugian RM164,903.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata akauntan lelaki berusia 62 tahun berhubung menerusi telefon dengan seorang lelaki untuk berurusan mengenai tawaran diskaun sebanyak 35 peratus sekiranya membuat pembayaran bil pada 8 Julai lepas. 

"Oleh kerana percaya dengan tawaran yang dibuat  suspek, mangsa menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada pelanggan yang ingin membuat pembayaran bil elektrik melaluinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata suspek meminta mangsa menghantar gambar salinan bil elektrik  melalui telefon dan kemudian suspek menghantar semula gambar resit pembayaran kononnya bayaran sudah dijelaskan.

Mangsa berjaya mencari seramai 120 pelanggan yang bersetuju membuat pembayaran bermula 8 Julai hingga 27 Ogos lepas. 

"Jumlah bayaran diterima mangsa daripada kesemua pelanggan kira-kira RM207,000. Daripada jumlah itu setelah ditolak keuntungan 35 peratus, mangsa melakukan 11 kali transaksi pindahan wang ke lima akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM164,903," katanya.

Mohamad Nasir berkata seorang pelanggan mangsa mengesahkan bil elektrik masih tertunggak setelah membuat semakan dengan pihak TNB dan mangsa seterusnya cuba menghubungi suspek namun gagal dan mengesyaki dirinya ditipu.  

Beliau berkata mangsa membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pembayaran bil TNB yang tidak wujud dan ini trend terbaru 'scammer' menipu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan