Polis Tahan Warga Asing, Rampas Kokain Bernilai RM430,000

04/09/2024 05:55 PM

SEREMBAN, 4 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis kokain seberat 2,270 gram bernilai RM430,000 di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Bandar Baru Putra Nilai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan menerusi operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 4.30 petang.

“Dalam operasi berkenaan, polis terserempak dengan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan yang mencurigakan di tempat letak kenderaan pangsapuri terbabit.

"Menyedari kehadiran polis, seorang daripadanya bertindak agresif dan melarikan diri manakala seorang lagi berjaya ditahan. Ketika tangkapan, polis melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam kereta itu menemukan bungkusan coklat mengandungi dadah jenis kokain terbabit dan polis turut menyita kenderaan berkenaan dengan keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM455,000.

Abdul Malik berkata suspek yang ditahan kemudian direman selama tujuh hari hingga 10 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerusi talian 06-7904222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan