SPRM Mulakan Siasatan Projek 1BestariNet

04/09/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd  (YTL) pada 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata hasil penggeledahan itu, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji untuk mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion,” katanya kepada Bernama.

Sumber terbabit memaklumkan fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 

Hishamuddin dalam pada itu, memohon semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan