Maritim Selangor Tahan Kapal Pasir Berlabuh Tanpa Kebenaran

04/09/2024 07:55 PM

SHAH ALAM, 4 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal pasir yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara jeti Sungai Kembung di Pulau Indah, Klang pada 2.18 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kapal pasir tersebut yang didakwa berlabuh di lokasi itu sejak beberapa hari lepas sebelum menggerakkan bot ronda Maritim untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan lapan individu lelaki warga asing berumur antara 30 hingga 65 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu dikendalikan oleh nakhoda berumur 36 tahun bersama seorang kru, kedua-duanya warga Indonesia manakala enam yang lain merupakan warga China berumur antara 30 hingga 65 tahun.

“Mereka juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk bersauh dan kesemua mereka dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan