Guru Berdepan Empat Tuduhan Amang Seksual Terhadap Pelajar Lelaki

04/09/2024 09:06 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Seorang guru lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun.

Mohd Hamdi Hanafi, 47, didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kereta di Jalan Pantai Sura dan di sebuah rumah di Dungun, masing-masing pada 3 dan 10 Ogos 2023.

Guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah di sini itu berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa sepanjang perbicaraan serta melapor diri ke balai polis pada setiap bulan dan menetapkan 6 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Ab Latif manakala Mohd Hamdi diwakili peguam Afiq Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan