Syamsul Yusof, Ira Kazar Sah Cerai Talak Satu

05/09/2024 03:52 PM

KUALA SELANGOR, 5 Sept (Bernama) -- Kemelut rumah tangga yang melanda pengarah filem Syamsul Yusof dan isterinya Ira Kazar berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam Syarie Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, 29, berkata pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Faizal Habib hari ini, hakim itu mengesahkan lafaz cerai taklik Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 40.

“Perceraian telah berlaku di luar mahkamah terhadap Ira dan Syamsul. Fokus kita hari ini untuk pengesahan lafaz cerai dan keterangan telah dibuat. Mahkamah telah membuat keputusan berhubung lafaz talak dan mereka sudah sah bercerai talak satu kira-kira 10.30 pagi ini,” kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding sebutan kali pertama bagi pengesahan lafaz cerai taklik yang diadakan secara tertutup.

Beliau berkata permohonan pengesahan lafaz cerai taklik difailkan Ira pada 21 Ogos lepas.

Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat itu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Peguam Syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul berkata mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat lafaz taklik yang mana Ira telah melanggar taklik tersebut dalam keadaan rela dan tanpa paksaan.

“Ira telah melanggar taklik sebanyak lima kali dan kali pertama pada 14 Ogos lepas. Alhamdulilah lafaz cerai taklik telah selesai hari ini, oleh itu Ira perlu menjalani edah bermula 14 Ogos lepas,” kata peguam itu yang enggan mengulas lanjut mengenai isu pelanggaran taklik yang dibuat Ira.

Ditanya mengenai prosiding perceraian difailkan Syamsul di Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur, Azmi memaklumkan kes itu tetap berlangsung pada 25 Sept ini, namun pihak berkenaan hanya akan memaklumkan mengenai status penceraian hari ini.

Sementara itu Ira enggan memberikan sebarang komen dan hanya tersenyum apabila pihak media mengajukan soalan kepadanya manakala Syamsul pula berkata: " Alhamdulillah semuanya telah selesai".

Syamsul bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon Kaza Saisi pada 6 Jan 2023 di Selatan Thailand dan kemudian mendaftar perkahwinan itu di Perlis pada 20 Jan tahun sama.

Ini merupakan pernikahan kedua Syamsul selepas berpisah dengan Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, pada 14 Jun 2023.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurnia sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan