Pengawal Keselamatan Mengaku Tak Bersalah Lakukan Sumbang Mahram, Amang Seksual Dua Anak Perempuan

05/09/2024 04:41 PM

ALOR GAJAH, 5 Sept (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan, sejak 2018.

Lelaki berusia 39 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya berusia 13 dan 16 tahun ketika kejadian dan kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Durian Tunggal antara pertengahan November 2018 dan pertengahan Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam, turut didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan sebat, serta Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan supaya jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.

Hakim Syazana Abd Lajis mengarahkan lelaki itu dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan, serta menetapkan 9 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

-- BERNAMA

 

TAG: mahkamah, sumbang mahram, amang seksual, pengawal keselamatan


FBA MHA HIS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan