Dakwaan Serangan Babitkan Kerabat Diraja: Polis Sedang Lengkapkan Siasatan

05/09/2024 04:55 PM

RAUB, 5 Sept (Bernama) -- Polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, berhubung dakwaan kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang Kuda di Kuantan di sini, dalam kejadian pada Jun.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata sebelum ini, beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kita telah menghantar kertas siasatan sebelum ini namun dikembalikan, kini kami dalam proses melengkapkan siasatan untuk penambahan beberapa perkara sebelum diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

Media hari ini melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.

Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan