Buruh Dipenjara Tiga Tahun, Cederakan Polis Dengan Gunting Pemotong Pokok

05/09/2024 05:48 PM

KOTA BHARU, 5 Sept (Bernama)-- Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan dan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis, minggu lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Tarmizi Ishak, 34, dalam prosiding tertutup di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Tertuduh dimasukkan ke HRPZ II kerana cedera pada bahagian paha kirinya selepas ditembak anggota polis kerana bertindak agresif semasa tangkapan terhadapnya dijalankan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dengan satu sebatan manakala penjara setahun bagi kesalahan kedua dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Ahmad Tarmizi didakwa mencederakan kedua-dua lengan Muhamad Yusuf Mohamad Fuad, 31, dengan menggunakan gunting pemotong pokok mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa  hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu mangsa sama yang merupakan anggota Balai Polis Badang semasa menjalankan kewajipannya.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan di Kampung Kijang, Badang, Jalan Kuala Besar di sini, pada jam 1 pagi, 31 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohd Bakri memohon hukuman berat kerana tertuduh menggunakan senjata terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas, selain memberi mesej  jelas kepada masyarakat untuk menghormati penguat kuasa yang menjalankan tugas dalam mencegah jenayah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran menasihatkan tertuduh yang tidak diwakili peguam agar menghormati tugas penjawat awam dan tindakannya itu merisikokan keselamatan anggota polis yang bertugas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan