Kontraktor Mengaku Bersalah Kemuka Dokumen Palsu Peroleh Tender Kerajaan

05/09/2024 09:13 PM

LABUAN, 5 Sept (Bernama) -- Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender berkaitan perkhidmatan pembersihan, menyelenggara serta membaik pulih bernilai RM331,488, empat tahun lepas.

Kasmina Kassim, 50, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kertas pertuduhan, pemilik syarikat Talka Trading itu didakwa mengemukakan penyata bank milik syarikatnya kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan Pendidikan yang mengandungi butiran palsu.

Dokumen tersebut digunakan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja perkhidmatan pembersihan kawasan perumahan dan kerja-kerja menyelenggara serta membaik pulih kerosakan ruang kerja di pejabat Jabatan Pendidikan Labuan. 

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara Ogos dan September 2020.

Hakim mengarahkan Kasmina membayar denda RM81,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan