MCMC Tangani Maklumat Salah Mengenai Pengalihan DNS, Sekatan Akses Internet

07/09/2024 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hal itu bagi memastikan pengguna terus memperoleh faedah daripada perlindungan disediakan oleh penyedia DNS ISP tempatan dan supaya laman web yang berniat jahat tidak dapat diakses kepada rakyat Malaysia.

Sebagai komitmen untuk melindungi keselamatan pengguna Internet, MCMC telah menyekat sejumlah 24,277 laman web antara 2018 hingga 1 Ogos, terdiri daripada pelbagai kategori, iaitu judi dalam talian sebanyak 39 peratus, kandungan pornografi/lucah (31 peratus), pelanggaran hak cipta (14 peratus), laman web lain yang berbahaya (12 peratus) seperti penjualan produk tidak berdaftar, hasutan dan jenayah fitnah selain pelacuran (dua peratus) dan pelaburan menyalahi undang-undang/penipuan (dua peratus).

MCMC dalam kenyataan itu turut menafikan dakwaan bahawa langkah yang diambil itu merupakan langkah yang zalim. 

“Kami ulangi bahawa pelaksanaan oleh Malaysia adalah untuk melindungi kumpulan yang terdedah daripada kandungan dalam talian yang berbahaya. Sistem DNS boleh melindungi pengguna dengan menyekat akses kepada laman web yang diketahui mengedar perisian hasad, pancingan data dan aktiviti berniat jahat lain, serta menapis kandungan yang tidak sesuai seperti bahan berunsur lucah dan laman web ganas,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC sebahagian pengguna memilih untuk menggunakan pelayan DNS pihak ketiga seperti Google DNS atau Cloudflare, yang dikatakan menawarkan pelbagai faedah seperti kelajuan lebih pantas dan berciri privasi lebih tinggi, namun pelayan DNS itu berkemungkinan tidak mempunyai tahap perlindungan yang sama untuk kandungan berbahaya terutamanya dalam konteks tempatan, berbanding pelayan DNS ISP tempatan.

DNS merupakan sistem yang direka bentuk untuk menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka untuk mencari laman web di Internet, manakala ISP biasanya mengendalikan pelayan DNS mereka sendiri, yang boleh dikonfigurasikan untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya iaitu suatu kaedah yang biasa digunakan untuk melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.

Menurut MCMC antara dakwaan tidak tepat ialah pelaksanaan itu merupakan larangan menyeluruh (blanket ban) dan laman web yang sah akan tidak boleh diakses kerana pengalihan DNS itu.

“Laman web hanya disekat apabila didapati mempunyai kandungan berniat jahat seperti pelanggaran hak cipta, perjudian dalam talian atau pornografi. Laman web yang sah akan boleh diakses seperti biasa dan pengalihan DNS memastikan kandungan berbahaya ditapis manakala laman yang selamat boleh diakses tanpa gangguan ketara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC menggalakkan pengguna melaporkan sebarang kesulitan dalam mengakses laman web yang sah terus kepada ISP masing-masing, supaya isu itu dapat ditangani segera memandangkan tiada aduan berkaitan diterima setakat ini.

Selain itu, mana-mana laman web yang merasakan mereka menjadi mangsa atau terjejas, boleh memfailkan rayuan menerusi saluran ditetapkan, menurut kenyataan itu.

Tribunal Rayuan, yang ditubuhkan oleh MCMC dan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, beroperasi secara bebas untuk memastikan semakan yang adil dan saksama bagi setiap kes.

“MCMC kekal komited untuk mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat dan terjamin di Malaysia, mengimbangi perlindungan pengguna Internet dengan keperluan untuk akses yang lancar kepada kandungan dalam talian yang sah,” katanya.

Sebelum ini, telah diumumkan bahawa MCMC akan memperkenalkan rangka kerja kawal selia baharu untuk penggunaan Internet yang selamat oleh kanak-kanak dan keluarga pada 1 Ogos, dengan pelaksanaan ditetapkan pada 1 Januari 2025.

Di bawah rangka kerja baharu itu, media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia dikehendaki memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan