Lelaki Fitnah Anggota Polis Terkorban Insiden Ulu Tiram Ditahan

07/09/2024 08:45 AM

IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berkaitan hantaran komen berbaur fitnah menerusi media sosial Facebook terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah berkenaan daripada waris keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lepas.

"Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan di sebuah rumah di Masai, Johor pada 8 malam Khamis lepas.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang bekerja di sebuah kilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Naim berkata suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Dalam kejadian pada 17 Mei lepas, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, kejadian itu turut mengorbankan Muhamad Syafiq, 24 yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel dan kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal pada 14 Jun lepas.

Terdahulu, dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama ‘Wan Qayyum’ dipercayai suspek menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan