Pengasuh Direman Tujuh Hari Bantu Kes Kematian Bayi

07/09/2024 02:03 PM

MELAKA, 7 Sept ( Bernama) -- Seorang pengasuh direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah di sini.

Perintah reman terhadap wanita berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata di taska berkenaan pada 3.30 petang semalam bagi membantu siasatan.

Bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, memaklumkan anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska berkenaan. 

Lebih menyayat hati Mohd Fikry Amri dan isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan tidak menyangka insiden itu berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan