Polis Pantau Syarikat disyaki Eksploitasi Agama, Kanak-kanak

07/09/2024 02:49 PM

BANGI, 7 Sept (Bernama) -- Polis sedang memantau sebuah syarikat dipercayai berkaitan dengan gerakan agama di negara ini susulan terdapat laporan mengenai aktiviti eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan itu susulan empat laporan polis diterima di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 mengenai eksploitasi kanak-kanak bagi tujuan mengutip dana, derma dan sebagainya.

“Berdasarkan maklumat yang kita dapat, dipercayai syarikat ini menggunakan eksploitasi (kanak-kanak), tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menubuhkan banyak rumah amal untuk mengutip derma dan mereka (pengikut) dikenakan tindakan kuarantin jika melakukan kesalahan kecil.

“Ahli kumpulan ini merangkumi semua termasuk golongan profesional dan pengaruh mereka tersebar luas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam Ke-20 di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Ayob Khan berkata syarikat berkenaan antara lapan organisasi daripada 114 yang dipantau Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut menyenaraikan syarikat itu antara 154 kumpulan ajaran sesat yang dipantau.

Beliau berkata sejak 2022 hingga Ogos lepas, polis telah menerima 80 laporan melibatkan 122 tangkapan berkaitan ajaran sesat di seluruh negara.

“Ini satu proses berterusan dan kita terus memantau selain bekerjasama dengan JAIN dan JAKIM bagi memastikan ajaran sesat dapat dibanteras,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan wakil syarikat terbabit yang didakwa mengeksploitasi agama dan kanak-kanak.

Sementara itu, Ayob Khan berkata PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Mutimedia Malaysia (MCMC) bagi menyekat dan mendapatkan maklumat mengenai sebarang gerakan ekstremis dan jenayah di platform media sosial antaranya di Telegram.

Beliau mengakui media sosial termasuk Telegram sering disalah guna untuk kegiatan jenayah seperti perjudian dalam talian, pornografi kanak-kanak dan penipuan.

“Tapi isu ini sukar dikawal kerana tidak terikat dan sebab itu kerajaan melesenkan (platform media sosial) untuk memudahkan pemantauan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan