APMM Gagalkan Cubaan Seludup 400 Kg Daun Ketum Ke Negara Jiran

07/09/2024 07:19 PM

ALOR SETAR, 7 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 40 bungkusan plastik mengandungi daun dipercayai ketum di kedudukan 1.7 batu nautika timur muara Kuala Kedah, semalam. 

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata rampasan bungkusan dianggar seberat 400 kilogram (kg) bernilai RM4,000 itu dilakukan pada 11.30 malam hasil maklumat risikan berkaitan sindiket tempatan yang aktif melakukan aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran.

"Sebuah bot ronda APMM telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan. Semasa rondaan dilakukan di sekitar muara, anggota telah mengesan beberapa bungkusan plastik hitam dilonggokkan di atas jeti persendirian dalam keadaan mencurigakan. 

"Kita percaya, penyeludup menunggu masa yang sesuai untuk mengambil bungkusan itu untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mengikut anggaran nilai semasa di negara ini, sekilogram daun ketum bernilai RM10 dan kesemua bungkusan plastik hitam terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut. 

"Hasil siasatan mendapati penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku, namun tidak kerap seperti sebelum ini berikutan negara jiran telah membenarkan penanaman pokok ketum di sana," katanya. 

Noor Azreyanti berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan